Header II

Header ADS

Perlunya membetulkan kompas moral diri dan pemimpin


Kepimpinan yang berwibawa merujuk kepada pemimpin - peringkat negara dalam konteks ini - yang mendapat kepercayaan atau mandat rakyat, juga berprestasi tinggi, berkebolehan serta ada sifat amanah, integriti, bertanggungjawab, mampu mentadbir negara dengan cekap dan berlandaskan perlembagaan.

Allah SWT merakamkan kisah anak perempuan Nabi Shuib dalam surah al-Qasas ayat 26 bermaksud: “Salah seorang antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah."

Ayat itu menjelaskan dua ciri penting iaitu "quwwah" dan "amanah". Jika mengikut konteks hari ini, kita boleh terjemahkannya sebagai kompetensi dan integriti yang menentukan kepimpinan berwibawa.

Selain Covid-19, rakyat Malaysia kini berhadapan dengan krisis kepimpinan yang saya kira amat dahsyat sejak kemerdekaan. Ciri-ciri kewibawaan telah hilang dalam kalangan kepimpinan negara.

Amalan rasuah, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa sampai ke tahap tragedi nasional. Wang suapan kadang-kadang bukan lagi diberi secara bawah meja, sebaliknya bertukar tangan secara terbuka, tanpa rasa malu dan segan silu. Cash is king, katanya.

Ironinya, yang korup itu pula diangkat menjadi penasihat untuk membenteras amalan rasuah. Mungkinkah kerana kita perlukan pencuri untuk menangkap pencuri?

Virus ini sukar dibendung selagi kita ada pemimpin yang gila kuasa dan harta. Ada tanda harga yang membolehkan kejujuran dibeli atau tawar-menawar.

Ia tiada vaksin kecuali rakyat berusaha membetulkan kompas moral kepimpinan negara. Kembalilah kepada jalan Allah dengan sebenar-benarnya.

Perbuatan kecil, impak besar

Apakah maruah rakyat Malaysia benar-benar sudah terhakis sehingga sedemikian rupa? Tidak dapat lagi membezakan yang baik dengan yang buruk? Adakah budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa sudah menjadi sebahagian daripada norma baru dalam kehidupan rakyat Malaysia?

Berbicara tentang rasuah, kita sering mendengar ungkapan masyarakat: “Hanya yang bilis-bilis saja ditangkap, tapi jerung terlepas bebas.”

Hakikatnya, ia bermula dengan yang kecil. Bilis atau jerung bukanlah ukuran tetapi rasuah itu - tidak kira kadarnya - yang perlu dibenteras dari akarnya.

Menurut Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Abu Kassim Mohamed dalam program Bicara Bina Negara anjuran Jabatan Kajian dan Advokasi Pertubuhan Ikram Malaysia pada 30 Sept, lalu, bilis atau jerung, kecil atau besar itu ia sebenarnya bergantung kepada impak.

“Mungkin perbuatan itu kecil. Sebagai contoh, di sempadan, seorang penguat kuasa membenarkan orang dari negara luar masuk dalam keadaan Covid-19 sekarang ini.

"Katakan dia (penguat kuasa itu) dapat duit apabila orang itu dibenarkan masuk. Namun orang itu mempunyai penyakit Covid-19 dan masuk secara illegal (haram).

"Tentu kesan daripada itu cukup besar jika perkara ini tidak diatasi. Masuknya orang itu dengan cara tidak berdaftar, dan tentunya nak ke hospital pun orang itu tidak boleh diterima," katanya.

Hari ini juga kita melihat amalan penguatkuasaan dua darjat. Ia adalah amalan yang jauh berbeza berbanding apa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita.

Adakah pemimpin berasakan mereka ada hak untuk diberi pegecualian daripada mematuhi undang-undang hanya kerana mereka berjawatan menteri?

Di manakah kompas moral mereka?

Akhirnya rakyat yang menanggung derita akibat ketidakpatuhan orang kenamaan. Ia sama seperti tindakan penguat kuasa yang membenarkan orang dari negara luar menyeludup masuk hasil daripada kompromi ‘suapan kecil’ yang bertukar tangan.

Negara boleh tergadai akhirnya

Selain integriti, kompetensi dalam mentadbir negara dengan cekap dan berkesan serta keupayaan untuk membuat keputusan yang tepat, teratur dan betul juga sering menjadi masalah.

Rakyat kini terpaksa berhadapan dengan pelbagai krisis akibat keputusan pemimpin yang tidak kompeten dan bukan pakar bidang dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Tambahan pula syarikat-syarikat kerajaan juga kini terus diterajui oleh individu yang bukan pakar dalam bidang diperlukan. Hakikatnya, bukankah yang ‘fit and proper’ yang sangat diperlukan?

Mengangkat pemimpin yang tidak berwibawa hanya mengundang kehancuran tamadun sesebuah negara. Jika sesebuah syarikat boleh jatuh bangkrap disebabkan pengurus yang tidak berwibawa, tidak mustahil negara juga berhadapan dengan risiko yang sama.

Malahan, risikonya lebih tinggi lagi apabila ia melibatkan rakyat keseluruhannya.

Kegagalan pemerintah atau pemimpin membendung gejala rasuah boleh menyebabkan negara akhirnya tergadai, malah mungkin dijajah kembali dek maruah yang boleh dibeli.

Allah SWT dengan jelas menetapkan kedua-dua ciri qawwiy (kompetensi) dan amanah (integriti) berjalan seiring sebagai asas memacu kepimpinan kini dan di masa akan datang.

Perkara seperti ini perlu dipandang serius. Apakah kesan yang akan terjadi selepasnya? Sebagaimana Allah kisahkan dalam al-Quran berkaitan anak perempuan Nabi Shuib, dalam surah al-Qasas ayat 26 tersebut.

CHE ASMAH IBRAHIM
Naib Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia.




______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by A330Pilot. Powered by Blogger.