Header II

Header ADS

Kepada Umno yang masih belum mahu belajar


UMNO nampak masih bongkak dan merasakan prestasi memenangi 14 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai pencapaian yang hebat.
 
Umno masih beranggapan angka itu sebagai terbaik berbanding prestasi parti-parti lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
 
Dalam 41 kerusi kuota BN, Umno paling banyak diberikan kerusi. Umno bertanding di 32 kawasan DUN.
 
Berbanding parti-parti lain dalam BN. Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) hanya diberikan lima kerusi dan empat kerusi untuk MCA.
 
Umno enggan menerima hakikat prestasi keseluruhan parti Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) jauh lebih naik.
 
PN bertanding hanya di 29 kerusi tetapi mencapai prestasi lebih baik.
Bersatu menang 11 daripada 19 kerusi yang ditandingi. Rakan gabungan PN, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) menang enam daripada lapan kerusi. Ini menjadikan PN memiliki 17 kerusi.
 
Baki tujuh kerusi GRS dimenangi PBS yang bertanding atas logo sendiri tanpa bergabung dalam BN atau PN.
 
Aneh, apabila Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan dan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki memprotes perlantikan Hajiji Noor dari Bersatu sebagai ketua 
menteri.
 
Bukankah jelas prestasi Umno tidak cemerlang di Sabah?
 
Umno gagal memenangi separuh daripada keseluruhan kerusi yang ditandingi.
 
Bukankah keputusan tewas di 17 daripada 32 kawasan yang ditandingi wajar dijadikan ukuran: Umno ditolak majoriti pengundi Sabah?
 
Umno yang “in denial”
 
Hakikatnya, Umno gagal menandingi prestasi parti Warisan. Walaupun parti serpihan Umno pimpinan bekas ketua menteri Sabah, Shafie Apdal gagal mengekalkan penguasaan kerajaan negeri.
 
Warisan Plus menang 29 kerusi dengan parti Warisan menyumbang 23 kerusi. Sekaligus menjadi parti tunggal yang memiliki kerusi paling banyak di DUN Sabah.
 
Ketika ramai pemimpin Umno bersikap “in denial”, bekas setiausaha Agung Umno Annuar Musa nampak bersikap lebih realisitik.
 
Annuar menerima hakikat kemerosotan prestasi Umno di Sabah.
 
Malah, pada mesyuarat tertutup pemilihan ketua menteri, rakan-rakan GRS memilih Hajiji sebagai calon ketua menteri.
 
Mustahil rakan-rakan GRS mahukan calon Umno, Bung Moktar Radin yang masih diselubungi kes mahkamah.
 
Malah, Bung Moktar tiada rekod dan pengalaman mentadbir kerajaan negeri berbanding Hajiji yang pernah menjawat jawatan menteri kanan.
 
Hajiji kini sudah lapan penggal menjadi Adun.
 
Annuar yang juga setiausaha agung BN, secara terbuka menerima hakikat prestasi Umno masih lemah di Sabah.
 
Menurut Annuar, ada beberapa pendekatan dan strategi dalam PRN yang digunakan Umno atau parti rakan BN kelihatan merugikan dan tidak mencapai sasaran.
 
“BN Sabah terlalu yakin memenangi 26 hingga 27 kerusi. Laporan pengundi putih pada awalnya begitu meyakinkan. Kononnya, BN mampu menang 27 daripada 41 kerusi dan melepasi sasaran stok putih,” katanya.
 
Menurut Annuar, lebih teruk lagi, pada hari mengundi, hampir separuh pengundi BN gagal keluar mengundi.
 
“Menjelang jam 3 petang pada hari mengundi hanya 7 daripada 41 (kawasan) melepasi garis kritikal.
“Ertinya jentera (BN) masih lemah atau data yang dimiliki tidak tepat,” katanya.
Umno perlu belajar menjelang PRU15
 
Sekiranya berlaku PRU 15, Umno perlu belajar daripada pengalaman di Sabah. Sekali pun senario di Sabah tidak sama dengan keadaan di Semenanjung.
 
PRN Sabah menghantar isyarat yang jelas dan penuh peringatan untuk Umno.
Sekiranya parti itu tetap bersikap terlebih yakin dan berasa kuat, ia boleh menjadi punca “rasa bongkak yang memakan diri”.
 
Mudahnya – keputusan PRN Sabah satu bukti: Umno tidaklah sekuat seperti disangkakan.
Rakyat masih terkesan dengan imej Umno yang dikaitkan dengan “calon bermasalah”.
 
Umno perlu belajar dan menerima hakikat: masih banyak yang perlu diperbaiki sekiranya parti itu mahu kembali menjadi parti utama di negara ini.
 
Zainal Rashid Ahmad
wartawan dan penulis sastera



______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by A330Pilot. Powered by Blogger.