Header II

Header ADS

Hubungan negeri-persekutuan, Muhyiddin menangkan GRS, kata penganalisis


KOTA KINABALU:
Keinginan untuk merapatkan hubungan kerajaan negeri-persekutuan dan penggunaan gambar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada poster kempen antara faktor utama kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), menurut penganalisis.

Penyelidik politik Arnold Puyok berkata, penggunaan gambar Muhyiddin sebagai tokoh utama GPS adalah strategi yang baik, manakala saintis politik Awang Azman Pawi berkata klip video hampir setiap hari di televisyen, menunjukkan Muhyiddin membaca doa menarik perhatian pengundi Islam Bumiputera.

Puyok berkata, kumpulan penyelidikannya Pemerkasaan Masyarakat dan Pembangunan Ekonomi Sabah melakukan 2 kajian menunjukkan Muhyiddin disukai bukan sahaja oleh penyokong GRS tetapi dalam kalangan mereka yang berpihak kepada parti berasaskan tempatan serta Warisan Plus, saingan utama GRS.

“Kajian jelas menunjukkan ketidakpuasan orang ramai terhadap Warisan dalam perkara berkaitan pemerintahan dan pengurusan ekonomi, yang cukup bagi pengundi untuk tidak memilih Warisan dan sekutunya,” katanya.

Puyok berkata, pengundi melihat pengalaman PN dalam menguruskan negara melalui masa sukar ketika wabak Covid-19. Mereka juga menyedari Sabah perlu selari dengan kerajaan persekutuan untuk pembangunan masa depan.

Katanya, faktor itu banyak menyumbang kepada perubahan sokongan daripada Warisan Plus kepada GRS.

Klip video Muhyiddin baca doa

Awang Azman dari Universiti Malaya berkata, klip video Muhyiddin membaca doa menarik perhatian pengundi Islam Bumiputera. “Selain itu, juga disiarkan, hampir setiap masa, dasar Putrajaya, yang dilihat peka terhadap keperluan rakyat.

“Keputusan kerajaan persekutuan memperkenalkan moratorium pinjaman 6 bulan juga memberi kesan yang besar kepada rakyat Sabah, terutama golongan B40,” katanya.

Warisan Plus terdiri daripada Warisan, DAP, PKR dan Upko, memenangi 32 kerusi pada PRN Sabah semalam, tetapi hilang majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN).

GRS yang terdiri daripada Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan PBS, memenangi 38 kerusi dan menuntut untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Tiga calon bebas turut menang dalam pilihan raya itu, dengan seorang menyatakan sokongan kepada PN.

Awang Azman tidak terkejut kerana pilihan raya itu adalah sengit, dengan menyatakan kedua-duanya mempunyai kekuatan masing-masing. “Saya katakan sebelum ini perbezaan antara keduanya hanya antara 5 dan 10 kerusi. Ini juga menggambarkan keadaan di Putrajaya di mana marginnya juga tipis.”

Beliau berkata, Warisan memenangi kempen media sosial tetapi liputan internet yang terhad menyebabkan ia lambat sampai kepada akar umbi.

“Ketakutan terhadap pandemik Covid-19 juga menghalang momentum Warisan kerana jumlah pengundi hanya 66%,” katanya.

Mesej ‘perpaduan’ Warisan tidak berjaya

Dalam perkembangan lain, Puyok berkata mesej Warisan mengenai “perpaduan” diterima dengan baik, tetapi tidak berjaya kerana perpaduan bukan isu utama bagi rakyat Sabah seperti di Semenanjung.

“Ia tidak cukup untuk mempengaruhi pengundi, yang jelas menginginkan kerajaan dengan fokus membangunkan semula ekonomi dan dengan pelan khas untuk melindungi rakyat daripada kesusahan ekonomi,” katanya.

Masyarakat KDM jadi ‘king-maker’

Pensyarah kanan UiTM Sabah Tony Paridi Bagang berkata, GRS menunjukkan prestasi sangat baik di kawasan majoriti Kadazan-Dusun-Murut. “Ini menunjukkan Warisan Plus gagal memenangi hati dan minda masyarakat.”

Perhatian masyarakat KDM adalah pada isu seperti pembangunan, kehadiran pendatang asing tanpa dokumen, mengekalkan hubungan persekutuan yang baik dan mengurus ekonomi, katanya.

Kekalahan Warisan juga disebabkan oleh kegagalan sekutunya, PKR dan Upko, di 12 kerusi KDM. PKR menang dalam 2 daripada 7 manakala Upko hanya menang 1 kerusi.

Awang Azman berkata, Warisan boleh memperoleh majoriti sederhana jika berjaya merebut separuh daripada 13 kerusi KDM yang dipertandingkan dan dimenangi oleh STAR dan PBS.

“Hanya pengundi yang menyedari tanpa Putrajaya, atau selaras dengan kerajaan persekutuan, projek pembangunan untuk komuniti KDM akan sukar diperoleh atau dilaksanakan secara keseluruhan,” katanya.

Sebagai contoh, masyarakat akan melihat Sarawak, yang selaras dengan PN, menerima cukai jualan hampir RM3 bilion bagi pembayaran produk petroleum baru-baru ini, sedangkan Sabah masih belum menerima bayaran itu.


______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by A330Pilot. Powered by Blogger.