Header II

Header ADS

Saya mohon maaf, pelajar sudah tiba di IPT boleh kekal di kampus, kata Noraini


PETALING JAYA:
Kementerian Pengajian Tinggi menjelaskan pelajar yang sudah tiba di institut pengajian tinggi (IPT) masing-masing boleh terus kekal di kampus sementara menunggu arahan seterusnya pihak pengurusan.

Menterinya Noraini Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata, bagaimanapun bagi pelajar yang masih berada di kediaman atau kampung, pihaknya memohon supaya menangguhkan dahulu pergerakan untuk sesi pendaftaran masuk ke universiti.

“Saya ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berharap kita dapat bersama membendung penularan wabak Covid-19 ini. Saya mengambil maklum rintihan dan keluhan pelajar serta ahli keluarga mereka susulan keputusan pihak IPT menangguhkan pendaftaran fizikal.

“Saya berharap pihak IPT dapat bersikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala hal yang berbangkit berhubung penangguhan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Noraini turut menjelaskan cadangan penangguhan serta-merta pendaftaran pelajar baharu dan lama di semua IPT dibuat susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 sejak beberapa hari lalu selaras dasar kerajaan memberi autonomi kepada pengurusan IPT.

“Peningkatan kes berkenaan adalah di luar jangka. Kementerian berbincang terlebih dahulu dengan semua pihak pengurusan IPT termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan sebagai agensi utama dalam pengurusan hal ehwal penularan pandemik,” katanya.

Semalam, KPT mencadangkan semua IPT menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka pelajar baharu dan lama bagi kemasukan ke kampus bulan ini.

Menerusi kenyataan, KPT berkata semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilaksanakan secara dalam talian, begitu juga aspek pengajaran dan pembelajaran sehingga pengumuman baharu mengenainya dibuat.

Perkembangan terbaharu itu menimbulkan kemarahan mahasiswa kerana sebahagian besar mereka sudah mengeluarkan perbelanjaan besar bagi urusan pendaftaran termasuk kos perjalanan dari kampung ke kolej masing-masing.


______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by A330Pilot. Powered by Blogger.