PKR saman Zuraida RM10 juta kerana lompat parti
PKR memfailkan saman RM10 juta terhadap bekas naib presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin berikutan tindakannya melompat parti.
Parti itu memaklumkan telah mengirimkan surat tuntutan terhadap Zuraida pada 7 Ogos, namun anggota parlimen Ampang itu masih belum memberikan sebarang jawapan.
Dalam satu kenyataan, Bendahari PKR, Lee Chean Chung berkata saman tersebut difailkan pada 28 Sept lalu.
Zuraida bersama 11 anggota parlimen lain meninggalkan PKR pada Februari untuk bersama Bersatu, Umno-BN, dan GRS bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional.
Berikutan itu, beberapa anggota dewan undangan negeri yang berpihak kepada Azmin Ali juga bertindak keluar daripada parti itu.
Semua anggota parlimen PKR menandatangani perjanjian sebelum pilihan raya umum 2018 dan bersetuju dengan syarat bahawa mereka akan dikenakan denda RM10 juta sekiranya melompat parti.
Lee berkata, dengan menandatangani perjanjian itu, Zuraida mengakui bahawa penggunaan logo dan simbol PKR ' bernilai' RM10 juta, berdasarkan kos yang dikeluarkan oleh parti untuk mempromosikan logo tersebut.
Katanya, PKR telah berusaha menyerahkan kertas kausa kepada Zuraida semalam dan kelmarin tetapi tidak berjaya.
Katanya, peguam PKR akan menulis surat kepada Zuraida bagi melantik peguam cara untuk mewakili pihaknya.
Lee berkata PKR juga akan melakukan tuntutan yang sama terhadap 20 anggota parlimen dan Adun lain yang telah berpaling tadah.
______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
No comments