Header II

Header ADS

Rina Jainal tewaskan calon veteran BN dengan majoriti 10 undi


Dua muka baharu antara tujuh calon wanita yang berjaya mendapat mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Pertarungan sengit antara dua wanita daripada era berbeza antara yang menarik perhatian dalam perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan apabila menyaksikan calon muka baharu daripada Warisan Rina Jainal mengetepikan calon veteran Barisan Nasional (BN) Chaya Sulaiman dengan majoriti tipis 10 undi.

Rina, 39, yang merupakan Ketua Wanita Warisan Bahagian Kalabakan menang dalam pertandingan tujuh penjuru di kerusi berkenaan dengan memperoleh 2,834 undi manakala Chaya mendapat 2,824 undi.

Selain Rina, calon Perikatan Nasional-STAR, Flovia Ng, 51, juga mencatat kemenangan pertamanya di DUN baharu Tulid dengan meraih 2,267 undi dalam pertandingan tujuh penjuru.

Lima lagi calon wanita yang turut mencatat kemenangan dalam PRN kali ini ialah Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew yang mempertahankan kerusi Api-Api, Julita Mojungki (PBS) pula mengekalkan kerusi Matunggong manakala tiga calon Warisan berjaya mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Norazlinah Arif (Kunak), Manis Muka Mohd Darah (Bugaya) dan Jannie Lasimbang (Kapayan).

Seramai 43 calon wanita bertanding pada PRN Sabah kali ini yang menyaksikan 29 daripada mereka hilang wang deposit setelah gagal meraih 12.5 peratus daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

- Bernama

______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by A330Pilot. Powered by Blogger.