Header II

Header ADS

Petronas bayar SST RM2.95 bilion kepada Sarawak


KUCHING:
Petronas dan anak syarikatnya hari ini membayar cukai jualan negeri (SST) RM2.95 bilion ke atas produk petroleum kepada kerajaan Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata, syarikat minyak dan gas itu menyelesaikan pembayaran sepenuhnya bagi 2019, seperti dinilai oleh Pengawal Selia SST, selaras peruntukan Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998.

Katanya, SST bagi tahun ini akan dibayar apabila penilaian dibuat berdasarkan jumlah sebenar produk petroleum, iaitu minyak mentah, kondensat, urea dan gas petroleum cecair yang dijual dan nilai jualan produk itu.

“Pembayaran daripada Petronas akan digunakan untuk membiayai projek pembangunan yang sedang berjalan di Sarawak,” katanya selepas majlis penyerahan cek bernilai RM2.95 bilion di Wisma Bapa hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dan Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah Embas.

Abang Johari berkata, penyelesaian pembayaran SST oleh Petronas adalah hasil perjanjian dicapai antara syarikat itu, kerajaan persekutuan dan negeri.

Petronas bersetuju menarik balik rayuan semakan kehakimannya di Mahkamah Rayuan, mengakui kuasa perlembagaan negeri untuk mengenakan cukai. Kes sivil terhadap Petronas kemudian ditarik balik, kata Abang Johari.

“Sekarang kami akan fokus pada perbincangan dengan kerajaan persekutuan untuk mencapai penyelesaian komersial dalam hal lain berkaitan minyak dan gas yang ditemui dan dihasilkan di Sarawak,” katanya.


______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by A330Pilot. Powered by Blogger.