Header II

Header ADS

Pegawai polis tidak ikut hantar wang RM5 juta untuk lindungi ‘bos’, kata Rizal Mansor


KUALA LUMPUR:
Rizal Mansor hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau menurunkan seorang pegawai polis di pejabat perdana menteri sebelum menghantar kedua-dua beg mengandungi wang RM5 juta ke Kompleks Seri Perdana, Putrajaya adalah untuk melindungi “bosnya”.

Bekas pegawai khas kepada Rosmah Mansor itu berkata, beliau tidak mahu pegawai polis itu, yang turut berada di dalam kenderaannya, mengetahui destinasi dan kepada siapa wang berkenaan dihantar.

“Pada masa itu saya panik, saya tidak tahu nak buat apa. Farriq (Ahmed Farriq Zainul Abidin, yang juga rakan Rizal) bisik pada saya bahaya kalau dia (pegawai polis) tahu kita nak hantar beg (yang mengandungi wang RM5 juta) kepada siapa.

“I’m protecting my boss (Saya melindungi bos saya),” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Rosmah.

Rizal, 46, memberi keterangan pada perbicaraan kes isteri bekas perdana menteri Najib Razak yang berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan 2 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Rizal menerusi penyataan saksinya sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa Rosmah mengarahkannya menghantar wang tunai RM5 juta ke kediaman rasminya di Seri Perdana kerana ketika itu beliau berada di rumah berkenaan.

Kepada soalan Akberdin bahawa tindakan Rizal menurunkan pegawai polis berkenaan adalah untuk mengelak daripadanya mengetahui ke mana beliau (Rizal) ingin pergi, saksi pendakwaan ke-21 itu menjawab, “saya memang tidak mahu dia tahu ke mana saya hantar beg tersebut”.

Menurut Rizal, walaupun beliau mempunyai nombor telefon pegawai itu, beliau juga tidak tahu siapa nama sebenar “Evo” dan tidak pasti pangkat pegawai polis berkenaan.

Akberdin: Menerusi penyataan saksi, kamu menyatakan bahawa kamu dan Farriq berasa tidak selesa dengan kehadiran pegawai polis itu. Tiada sebab untuk kamu rasa tidak selesa kerana kamu yang ‘arrange’ (atur) pegawai polis tersebut untuk ‘escort’ Saidi selepas beliau mengeluarkan wang tunai RM5 juta daripada Maybank, Jalan Medan Tuanku pada penghujung bulan Disember 2016 dan menghantarnya ke pejabat Lawrence (perunding Tee Kien Moon) di Pavilion.

Rizal: Ya, memang saya ‘arrange’ (atur) pegawai polis itu untuk ‘escort’ Saidi disebabkan Saidi memaklumkan kepada saya bahawa beliau takut untuk membawa wang tunai sebanyak itu.

“Tetapi selepas saya dimaklumkan oleh Saidi bahawa Lawrence tidak mahu terima wang RM5 juta tersebut, saya panik. Ini pertama kali saya bawa wang sebanyak itu,” kata Rizal.

Akberdin: Alasan bahawa kamu rasa tidak selesa adalah sandiwara sahaja. Kamu sebenarnya ingin ‘kebas’ RM5 juta itu dan kemudian kamu cakap kamu tidak selesa.

Rizal: Saya tidak setuju.

Sementara itu, dalam ssoalan yang diutarakan timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram semasa pemeriksaan balas, Rizal memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mengambil wang RM5 juta yang dibawa ke Pavilion oleh Saidi dan menggunakannya untuk diri sendiri.

Dalam satu lagi soalan Sri Ram, Rizal berkata, walaupun beliau dilantik sebagai pegawai khas kepada Najib Razak yang merupakan perdana menteri ketika itu, hanya 10% daripada peranannya didedikasikan kepada Najib, sementara 90% lagi kepada Rosmah.

Ditanya Sri Ram mengenai gaya hidup dan kereta mewah dimiliki Rizal, saksi utama pendakwaan itu berkata, Mercedes-Benz itu kepunyaan anaknya yang juga merupakan Instagram terkenal, Audi milik isterinya yang juga seorang ahli perniagaan dan Honda Odyssey adalah miliknya.

Sri Ram: Pembelaan mencadangkan kepada kamu bahawa tertuduh (Rosmah) tidak meminta wang untuk dirinya dan Saidi mencadangkan wang itu untuk ‘sumbangan politik’. Adakah anda tahu RM6.5 juta dihantar kepada Rosmah untuk sumbangan politik?

Rizal: Tidak dalam pengetahuan saya.

Saksi itu menambah tiada resit atau surat ucapan terima kasih dikeluarkan kepada Jepak, Saidi atau Rayyan (rakan kongsi Saidi – Rayyan Radzwill Abdullah) oleh Umno atau Barisan Nasional sebagai menghargai “sumbangan politik” itu.

Mengikut pertuduhan, Rosmah, 68, didakwa menerima suapan menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Fotovolta (PV) Hibrid, serta penyelenggaraan dan operasi genset/diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 5 Okt ini.

______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by A330Pilot. Powered by Blogger.