Mahadi Che Ngah datuk bandar Kuala Lumpur baharu
PUTRAJAYA: Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mengumumkan pelantikan Mahadi Che Ngah sebagai datuk bandar Kuala Lumpur, menggantikan Nor Hisham Ahmad Dahlan berkuatkuasa hari ini.
Pelantikan itu menjadikan Mahadi datuk bandar KL ke-13.
Mula berkhidmat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada April 1983 sebagai pegawai perancang bandar, Mahadi merupakan pengarah eksekutif perancangan sebelum bersara wajib pada Sept 2019.
“Tempoh perkhidmatan selama 36 tahun di DBKL memberi kelebihan dalam aspek pengetahuan, kemahiran selain pengalaman yang mendalam berkaitan pengurusan bandaraya serta dasar-dasar perancangan bandaraya Kuala Lumpur, ” kata Annuar pada sidang media di Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.
Menteri percaya pengalaman luas Mahadi akan membantu menerajui DBKL.
Pada masa sama, Annuar turut mengucapkan terima kasih kepada Nor Hisham atas sumbangan yang dicurahkan bagi tempoh 2 tahun sebagai datuk bandar.
“Hisham sudah banyak lakukan kemajuan dan urusan perbandaran di Kuala Lumpur dan beliau adalah pegawai yang cukup berdisiplin dan dedikasi, beliau meninggalkan legasi tersendiri sebagai datuk bandar,” katanya. - FMT
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
No comments