Lebih 600 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19 – Dr Adham
PUTRAJAYA – Pandemik Covid-19 turut menular dalam kalangan lebih 600 petugas kesihatan di Malaysia sejak Februari sehingga semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Daripada jumlah itu, 406 adalah petugas di hospital kerajaan manakala selebihnya petugas dari hospital swasta dan hospital universiti, katanya.
Menurut beliau, antara langkah diambil bagi membantu para petugas itu kembali bersemangat selepas dijangkiti wabak itu adalah dengan menyediakan talian sokongan psikososial melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).
Selain itu, katanya, mereka yang terkesan dengan kes-kes berkaitan psikososial, selain bertemu dengan pakar psikiatri juga akan dirawat dan tidak dibenarkan lagi merawat pesakit COVID-19..
Dr Adham berkata, antara isu yang diketengahkan petugas KKM melalui talian sokongan psikososial ialah tekanan kerana berjauhan dengan keluarga, terpaksa patuh pada Prosedur Operasi Standard yang ketat, keletihan dan isu berkaitan tuntutan bayaran elaun khas COVID-19.
“Petugas penjagaan kesihatan di wad Covid-19 berdepan dengan tekanan tinggi akibat berjauhan dengan keluarga dan bekerja dalam prosedur standard operasi (SOP) yang ketat.
“Selain itu mereka juga tertekan kerana kekurangan tenaga selepas bekerja untuk tempoh lama.
“Tekanan lain apabila berdepan pampasan dan elaun yang tercicir sepanjang bekerja sejak pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Putrajaya In Orange sempena Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2020 – Bersuara Demi Keselamatan Pesakit di sini malam ini.
Dalam pada itu ketika berucap, Adham menegaskan keselamatan pesakit adalah usaha-usaha yang kementerian laksanakan untuk mencegah kemudaratan kepada golongan itu ketika menerima rawatan.
Ujarnya, antara objektif utama Hari Keselamatan Pesakit Sedunia pada tahun ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan petugas penjagaan keselamatan yang berkait rapat dengan keselamatan pesakit.
“Petugas penjagaa kesihatan perlu sihat dari segi fizikal dan mental untuk keselamatan pesakit yang terjaga dalam krisis seperti Covid-19.
“Oleh itu, sempena sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia pada tahun ini, semua pihak diseru untuk menyokong petugas penjagaan kesihatan dan bersuara demi mereka,” katanya.
Sementara itu, bermula malam ini hingga 20 September ini, sebanyak 32 bangunan dan tiga jambatan di Putrajaya diterangi dengan cahaya lampu pelbagai tona jingga.
Putrajaya In Orange yang merupakan usaha sama KKM dengan Perbadanan Putrajaya menggunakan teknologi pencahayaan sedia ada yang menggunakan tenaga.
Bangunan-bangunan lain pula dinyalakan dengan pencahayaan fasad jenis Festive Mode ‘warm white’ pelbagai tona dan spektrum jingga yang juga menggunakan sumber pencahayaan sedia ada. – MalaysiaGazette
______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
No comments