Kes pengubahan wang haram, elak cukai Rosmah, selepas kes rasuah
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pengubahan wang haram dan gagal membuat penyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM7,097,750 melibatkan Rosmah Mansor, hanya akan dimulakan selepas perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid untuk sekolah pedalaman Sarawak, selesai.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar kedua-dua kes itu, menetapkan 2 Disember untuk pengurusan kes, selepas timbalan pendakwa raya Poh Yih Tinn memaklumkan yang pendakwa raya dalam kes rasuah Rosmah, dijangka melengkapkan perbicaraan kes itu selewatnya pada awal November.
Terdahulu peguam Geethan Ram Vincent yang mewakili isteri bekas perdana menteri itu, mencadangkan pengurusan kes ditetapkan mengikut tarikh selesainya perbicaraan kes solar hibrid.
“Saya mencadangkan supaya kami jumpa semula Yang Arif pada Disember, bagi membolehkan masa yang cukup untuk penghujahan dan keputusan (berkaitan perbicaraan solar hibrid),” katanya semasa pengurusan kes.
Rosmah, 69, dikecualikan daripada hadir ke perbicaraan hari ini.
Perbicaraan kes rasuah terlebih dahulu telah ditetapkan untuk diteruskan Isnin depan, dengan 2 lagi saksi pendakwaan dijangka memberikan keterangan.
Ketika ditanya Zaini sama sama ada pendakwaan boleh melengkapkan perbicaraan rasuah pada minggu depan, Poh memaklumkan yang mereka yakin boleh lakukannya atau selewatnya pada awal November, kerana mereka kini berada pada bahagian akhir kes tersebut.
“Baiklah, kita tetapkan 2 Disember untuk pengurusan kes,” kata Hakim.
Sebelum ini, mahkamah menangguhkan pendengaran kes pengubahan wang haram dan gagal membuat penyata tuntutan kepada LHDN, yang pada awalnya ditetapkan bermula pada Mei bagi memberikan keutamaan kepada perbicaraan kes solar hibrid, yang sedang berjalan.
Pada 4 Oktober lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan 5 pertuduhan gagal membuat penyata tuntutan kepada LHDN.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148 Jalan Ampang antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.
Pertuduhan bagi kesalahan pengubahan wang haram itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan bagi kesalahan gagal membuat penyata tuntutan kepada LHDN dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, untuk mengemukakan suatu penyata bagi tahun taksiran antara 2013 dan 2017 kepada ketua pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018, dengan tiada sebab yang munasabah bertentang dengan Seksyen 112 Akta Cukai Pendapatan 1967.
______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
No comments