Keputusan PRN Sabah signal kerajaan PN diterima rakyat
SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri serta kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, mandat yang diberikan rakyat merupakan signal bahawa kerajaan sedia ada diterima baik rakyat Sabah.
"Pengundi hari ini ingin melihat sebuah kerajaan yang mampu membawa perubahan, selain memberikan kebaikan kepada mereka.
"Jadi pastinya parti itu perlu membangunkan polisi yang benar-benar bermanfaat kepada rakyat, parti yang berintegriti dan tidak ada konflik dalaman serta stabil untuk memerintah.
"Untuk memenuhi keperluan pengundi, mereka perlu memilih kepimpinan yang dilihat benar-benar berkaliber untuk membawa hasrat pengundi apabila mereka berjaya membentuk kerajaan.
"Ia menjadi tekanan kepada parti politik dan pemain untuk berubah serta bergerak seiring dengan keperluan rakyat untuk bawa hasrat pengundi bila mereka berjaya bentuk kerajaan. Itu satu yang positif kerana parti-parti tersebut tidak hanya memerintah dengan cara biasa," katanya.
Sementara itu, Kamaruzaman berkata, cabaran politik hari ini bergantung kepada pemilihan pengundi muda.
"Banyak kajian menunjukkan orang muda tidak lagi terikat dengan politik kepartian, sebaliknya mereka lebih bebas memilih siapa yang mereka rasakan sesuai dengan naluri mereka.
"Ia jadi cabaran kepada parti politik kerana sebelum ini kita lihat bagaimana parti politik ada 'fixed deposit', letaklah siapa sahaja, pasti boleh menang. Tetapi kini ia sebaliknya," katanya.
Ditanya mengenai dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan baharu, Kamaruzaman berkata, ia bukan pertama kali berlaku dan perkara itu menjadi salah satu punca kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.
"Bila Tun (Dr Mahathir Mohamad) sudah berjanji untuk serahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar dalam tempoh tertentu tetapi tidak sampai tempoh itu, timbul pelbagai desakan.
"Perebutan untuk menjadi Perdana Menteri menunjukkan mereka ini memperjuangkan rakyat atau kepentingan peribadi. Sekiranya perjuangkan rakyat, perkara ini dibincangkan secara tertutup tanpa menimbulkan konflik kepada rakyat.
"Tetapi apabila pertembungan ini berlaku secara terbuka di media, bukan sahaja melibatkan (pertembungan) individu malahan parti juga secara terbuka. Situasi ini menyebabkan rakyat akan lebih muak dan mula jauh dengan pemimpin PH," katanya.
______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
No comments