Kempen Leiking dibayangi dakwaan 'sengketa suku, isu empangan'
Walaupun imej Mohd Shafie Apdal mendominasi kempen pilihan raya Warisan, timbalannya Darrel Ignatius Leiking menjadi wajah kempen parti itu di kawasan masyarakat Kadazan Dusun dan Murut (KDM).
Seperti kebanyakan calon Warisan, video media sosial Darrel akan memaparkan dirinya bersama isyarat tangan dan huruf "W" yang mempromosikan "perpaduan", menyisipkan mesej yang lebih mendalam mengenai kemajmukan Sabah yang unik.
Shafie berketurunan suku Bajau beragama Islam manakala Darrel pula Kadazan yang menganut Kristian. Walaupun rakyat Sabah sering merasa bangga meraikan kemajmukan budaya dalam kehidupan seharian, namun politik negeri ini masih mempunyai dimensi etnik dan agama seperti negeri-negeri lain di Malaysia.
Pada 2018, Warisan - sebuah parti pelbagai etnik - hanya menang empat dari 10 kerusi KDM. Kemaraannya dihalang tanggapan di kalangan pengundi KDM bahawa Warisan adalah parti masyarakat Sulu-Bajau-Filipina dan oleh itu berketurunan orang asing.
Sambutan kurang baik di kalangan masyarakat KDM untuk Warisan diperkuat semasa pilihan raya kecil Kimanis pada Januari.
Kekalahan Warisan terserlah di pusat daerah mengundi KDM.
Kali ini, dari 22 kerusi majoriti KDM, Warisan meletakkan calon di 11 DUN, manakala selebihnya dikongsi bersama United Progressive Kinabalu Organisation (Upko) dengan tujuh kerusi, PKR (tiga) dan DAP (satu).
Darrel, 49, seorang peguam yang menceburkan diri ke dunia politik akan menerajui jentera kempen Warisan di kawasan KDM.
Beliau yang juga ahli parlimen Penampang akan mempertahankan DUN Moyog yang disandang Warisan.
Jurang pemisahan Timur-Barat Sabah
Ketika berkempen, Darrel berkata rakyat Sabah tidak kira dari mana sekalipun perlu bersatu kerana hanya dengan cara itu barulah kemakmuran negeri dapat dicapai.
Katanya, isu ketidakpercayaan antara masyarakat Sabah di kawasan Pantai Timur dan Pantai Barat antara punca berlakunya perpecahan perpaduan di negeri itu.
"Bila mereka melihat Mohd. Shafie, mereka secara automatiknya memandang beliau sebagai pendatang tanpa izin (PTI), hanya kerana mereka tidak tahu bagaimana kehidupan mereka di Pantai Timur sebab kita hanya di Pantai Barat.
“Macam juga dari Malaya atau Semenanjung, mereka kurang pengetahuan tentang Negeri Sabah.
"Masalah terbesar kita adalah kita tidak mengenali sesama, kita tidak mahu mengenali antara satu sama yang lain atau kita fikir kita sudah tahu secukupnya," jelas beliau.
Pemimpin DAP dan Ahli Parlimen Kapayang Jannie Lasimbang (gambar, atas) yang juga orang Kadazan, memberitahu Malaysiakini prasangka terhadap penduduk di Pantai Timur Sabah sangat ketara di kawasan KDM dan menyalahkan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) kerana meniupkan api kesukuan.
Bagi Jannie, pengundi perlu mengabaikan sentimen seperti itu dan sebaliknya memilih kerajaan mana yang lebih bersih dan lebih baik.
"Mereka yang melalui pintu belakang bukanlah kerajaan yang kami mahukan. Kami mahukan kerajaan yang bersih," kata Lasimbang, yang juga wakil rakyat bagi kawasan majoriti KDM.
Dakwaan 'sengketa suku'
Selain daripada sentimen pemisahan Timur-Barat, Darrel juga perlu menelusuri kecenderungan masyarakat KDM untuk politik berasaskan suku dan keluarga.
Di kawasan KDM, politik dikuasai oleh keluarga-keluarga besar dan bukan di luar kelaziman apabila ahli keluarga saling bertembung di dalam pilihan raya.
Darrel sendiri ialah anak kepasa bekas Adun Inanam dan bekas pemimpin Umno tempatan Marcel Darrel.
Sama seperti kawasan KDM yang lain, calon dari keluarga yang lebih besar atau mendapat sokongan suku mereka sering mempunyai kelebihan.
Darrel yang ketika itu baru berjinak di dunia politik telah menewaskan bekas presiden Bernard Dompok pada 2013 untuk menang kerusi Penampang, prestasi sokongan yang kemudian dikaitkan dengan nama keluarganya.
Walaupun Darrel telah mencipta namanya sendiri di persada politik selama tujuh tahun terakhir, tiga pencabarnya kali ini merupakan ahli keluarganya - Joseph Sulaiman (Bintang), William Sampil (Parti Cinta Sabah) dan John Cryso (Parti Bersatu Sabah).
Ketika ditemui di Penampang, seorang ahli keluarga Lasimbang memberitahu Malaysiakini ada ahli keluarga yang percaya Darrel perlu fokusa tugasnya sebagai ahli parlimen dan membiarkan orang lain menjadi wakil rakyat Moyog.
"Pengundi KDM ingin melihat wakil rakyat mereka secara peribadi dan selalu ada di kawasan tetapi ini tidak berlaku," dakwanya.
Setelah mengekalkan kerusi Penampang pada tahun 2018, Darrel menghabiskan banyak masa di Putrajaya kerana beliau ialah menteri perdagangan antarabangsa dan industri.
"Jadi, kali ini, ada antara kami mahu (wakil wakyat) yang lain. Cukuplah," kata ahli keluarga Lasimbang yang enggan disebut namanya.
Sokongan dari keluarga berpengaruh
Pakcik kepada Darrel, Sampil memberitahu Malaysiakini beberapa ahli keluarga besar Leiking telah menyuarakan sokongan terhadap anak saudaranya itu.
"Pengundi di Penampang berbeza. Apabila mereka telah membuat keputusan, mereka akan membuang anda walaupun anda ialah seorang menteri persekutuan yang sudah lama.
"Mereka akan berkata anda sudah terlalu lama memegangan jawatan," katanya, merujuk kepada kekalahan yang dialami Dompok pada 2013.
Darrel kini mendapat sokongan ketiga-tiga ahli politik dari keluarga Lasimbang secara terang-terangan, termasuklah penyandang kerusi DUN Moyog, Jeniffer Lasimbang, yang mengisi borang pencalonan Darrel (gambar, bawah).
Selain adik beradik Jannie dan Jeniffer, keluarga Lasimbang termasuklah senator Adrian Lasimbang dan bekas Adun Moyog Philip Benedict Lasimbang, seorang ahli politik Upko sehinggalah beliau meninggal dunia pada 2018.
Bagaimanapun, Darrel tidak mahu dirinya cuma digambarkan sebagai pemimpin KDM sahaja.
"Saya dilihat sebagai pemimpin mewakili rakyat Sabah. Orang yang mahu memecahkan kami menggunakan isu kaum adalah orang yang menyebabkan Sabah akan mundur, manakala kami mahu menjadikan Sabah maju," kata Darrel lagi.
Masalah empangan Papar
Tinjauan pengundi di Penampang menunjukkan walaupun terdapat pujian kepada Darrel, terdapat juga kritikan terhadap masalah infrastruktur yang tidak dapat diselesaikan, banjir, kekurangan hospital dan projek empangan Papar yang tidak popular.
Projek Empangan Papar dianggap perlu oleh kerajaan Shafie untuk memastikan bekalan air bersih ke kawasan bandar.
Bagaimanapun, terdapat kebimbangan bahawa sebanyak 13 kampung di Penampang perlu memberi lalun terhadap projek itu dan Darrel dilihat tidak berupaya menyuarakan bantahannya.
Walaupun ada rungutan, beberapa pengundi seperti Boitol Loguet, yang mengaku sebagai ahi keluarga Lasimbang, berkata beliau berharap dapat melihat Darrel dipilih sebagai wakil rakyat.
"Siapa tahu jika dia akan menjadi ketua menteri suatu hari nanti? Sekiranya dia bertanding di kerusi DUN beberapa tahun yang lalu, dia mungkin akan menjadi timbalan ketua menteri," kata pemilik kedai runcit berusia 81 tahun di Buit Hill.
______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
No comments