‘Katak’ boleh kacau peluang Warisan, Guan Eng beri amaran
GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, memberi amaran kemungkinan politik wang akan mengacau “peluang baik” kerajaan Warisan untuk memenangi pilihan raya Sabah.
Beliau tidak melihat sebarang alasan untuk pengundi menolak Warisan Plus tetapi bimbang dengan ancaman beli undi.
Beliau menggesa rakyat Sabah beramai-ramai memilih gabungan itu untuk menunjukkan mereka menolak “politik katak”.
“Sabah diberi peluang untuk menjadi contoh kepada seluruh negara,” katanya kepada FMT.
Dalam pada itu, beliau menyentuh kemungkinan jumlah keluar mengundi yang rendah kerana “kebimbangan tentang Covid-19” mungkin akan tidak menggalakkan para pengundi luar negeri pulang ke Sabah untuk mengundi.
Beliau mendakwa pengundi luar negeri memberi kelebihan kepada Warisan pada pilihan raya 2018.
Jelasnya, Warisan Plus mengharapkan pengundi akan menghukum ahli politik yang bertukar parti kerana wang atau jawatan.
“Negeri ini mempunyai penduduk yang lebih berpendidikan dan rakyat yang sentiasa mahu menegakkan hak mereka. Saya rasa di sinilah anda akan lihat orang Sabah dengan berani mengambil langkah untuk memulakan gelombang menentang politik katak.”
Beliau mendakwa terdapat “sorakan” dari orang Sabah apabila pilihan raya negeri diadakan untuk menghalang pembentukan “kerajaan pintu belakang”.
“Sekiranya kita menang di Sabah, itu akan membawa suatu gelombang harapan baru dan semangat untuk menuntut kembali mandat kita daripada rasis dan pelampau yang mentadbir kerajaan persekutuan hari ini.”
Beliau optimis akan menang kerana parti pembangkang nampaknya seperti berselisih mengenai calon ketua menteri.
“Kita percaya Warisan dan rakan kita dalam Warisan Plus. Kita saling sokong, bekerjasama dan tidak saling mencabar, tidak seperti Barisan Nasional dan PN, yang bertengkar tentang siapa yang akan menjadi ketua menteri,” katanya.
Dalam pada itu, Lim turut memuji Shafie sebagai individu yang berprinsip kerana menyerahkan mandat kepada rakyat.
Beliau mendakwa keputusan itu mendapat sokongan pengundi, “malah di oedalaman, yang menjadi suatu kelemahan kepada Shafie”.
Beliau berkata rakyat Sabah pada dasarnya perlu memutuskan sama ada politik wang atau kuasa rakyat yang patut memerintah. - FMT
______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
No comments