Bung mohon maaf kepada Zahid, gagal jadi ketua menteri Sabah
Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin memohon maaf kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kerana gagal meneruskan hasrat parti itu yang mahu beliau dilantik sebagai ketua menteri Sabah yang baharu.
Bung berkata, tidak dinafikan jawatan ketua menteri memang menjadi harapan Umno negeri, namun menyedari dengan hanya memperoleh 14 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) menyebabkan parti itu sukar menuntut jawatan berkenaan.
“Sesungguhnya PRN kali ini amat luar biasa daripada kelazimannya. Setiap DUN mempunyai begitu banyak parti dan calon bebas yang bertanding dengan menggunakan pelbagai logo serta mendapat sokongan pihak tertentu.
“Saya akan lakukan ‘post mortem’ untuk mencari sebab-musabab dan punca beberapa kerusi ditandingi BN mengalami kekalahan. Kami juga akan membuat penambahbaikan demi memastikan BN dapat merampas semula kerusi tersebut pada PRN akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut berharap pihak tertentu yang masih bersandiwara dengan menyalahkan pemimpin tertentu dalam hal dan urusan Sabah supaya menghentikannya.
Baginya, adalah lebih baik berlaku adil dan jangan merugikan Umno demi agenda peribadi.
“Kita jernihkan keadaan bukan mengeruhkan lagi kedukaan kita dengan keputusan PRN baru-baru ini. Duka dan pedihnya, Umno Sabah yang rasainya, kita undur selangkah ke belakang bukan bererti kalah, tetapi kita bersedia untuk melangkah jauh lagi ke hadapan,” katanya.
Terdahulu, Bung bersama Presiden STAR Jeffrey Kitingan dan Naib Presiden PBS Joachim Gunsalam dilantik sebagai timbalan ketua menteri Sabah.
Ia selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Hajiji Mohd Noor mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan Yang di-Pertua Juhar Mahiruddin di Istana Negeri. FMT
______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily
No comments