Header II

Header ADS

Pemimpin Keilmuan



Imej dan identiti sebuah institusi pengajian bergantung pada pimpinan keilmuan yang harus ada dan mengajar di institusi pengajian berkenaan. Dilihat kepada zaman tradisi, misalnya keilmuan pada zaman tradisi di Terengganu ditokohi oleh Syeikh Abdul Malik bin Abdullah -Tok Pulau Manis (1650-1736) yang menghasilkan karangan-karangan untuk institusi pengajarannya dan masyarakat seperti Hikam Melayu, Kifayah dan Bayan Kayfiyat al-Niyyah . Peradaban keilmuan di Pulau Riau banyak diserlahkan oleh Raja Ali Haji (1809-1870) yang mengarang antaranya Tuhfat al-Nafis dan Gurindam 12, Thamarat al-Muhimmah, Bustan al-Katibin dan lain-lain.

Pada peringkat yang lebih kemudian Za`ba Guru di Maktab Perguruan Tanjung Malim dan kemudian mengajar di Universiti Malaya terkenal sebagai seorang pakar bahasa yang mengarang Pelita Bahasa Melayu dan berbagai karangan yang lain dan mempunyai pengikut seperti Profesor Haji Omar di Universiti Malaya. Dalam bidang ekonomi Profesor Ungku Aziz selain dari menjadi Naib Canselor di Universiti Malaya terkenal sebagai Pakar Ekonomi dan ianya mencadangkan ditubuhkan Tabung Haji (1963) yang berkembang hingga kini. Beliau mempunyai pengikut seperti Rafidah Aziz Pensyarah Ekonomi Universiti Malaya sebelum beliau terlibat di dalam bidang politik.

Ketokohan di dalam bidang keilmuan yang mengharumkan universiti yang dia berkhidmat ialah Profesor Dr. Syed Naguib al-Attas dengan cetusan pendapatnya bahawa Islamlah yang merubah dan meningkatkan peradaban Melayu, beliau juga mempelupuri tentang Falsafah dan Pemikiran Islam semasa memimpin Institut Pemikiran Islam di UIAM. Banyak buku dihasikan beliau seperti Islam Dalam Pemikiran dan Peradaban, The Mysticism of Hamzah Fansuri dan lain-lain. Beliau mempunyai pengikut-pengikut yang ramai mendukung falsafah dan pemikirannya.

Tokoh Besar di dalam bidang keilmuan Islam ialah Al-Imam Al-Ghazali (m.1111). Beliau bukan setakat memimpin Universiti Nizamiyyah, tetapi memimpin pemikiran Islam. Beliau menyatu dan mengintegrasikan ketiga-tiga keilmuan Islam, iaitu akidah, fiqh dan tasawuf dengan menghasilkan begitu banyak karya seperti Ihya` `Ulum al-Din, Al-Iqtisal fi al-I`tiqad, Tahafut al-Falasifah dan banyak lagi. Pengajaran al-Ghazali menjadi pengikut keilmuan bagi umat Islam.

Bagi universiti-universiti di negara kita yang banyak itu, seharusnya mempunyai pemimpin keilmuan di dalam bidang-bidang keilmuan utama yang ditawarkan oleh sesuatu universiti. Universiti mempunyai ranking dari segi tenaga pengajar yang mencerminkan tahap keilmuan mereka. Di universiti ada tenaga pengajar bermula dari tutor (pengajar), pensyarah, pensyarah kanan, profesor madya, profesor, bahkan kini `Profesor Emiratus` yang merupakan tenaga pengajar dan ilmuan terkenal di dalam bidang keilmuan tertentu di universiti.

Kita merenung kepada puluhan universiti yang ada di negara kita. Ada kalangan mereka bertaraf profesor, bahkan profesor emiratus, sukar bagi kita mengenali tokoh-tokoh keilmuan yang diberi title keilmuan yang gah itu, lebih sukar bagi kita untuk mengetahui apakah bidang dan kaedah keilmuan yang disumbangkan, lebih daripada itu dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

Universiti ada, tokoh ilmuan yang beritle ada, tetapi sumbangan mereka, sekurang-kurangnya dalam bentuk tulisan mengapa tidak disebarkan ? Salah siapakah ? Apakah pihak Kementerian Pengajian Tinggi tidak mempunyai perancangan bagi memperkenalkan sumbangan tokoh-tokoh akademik ini kepada masyarakat ? Sebenarnya tokoh berkenaan tidak memerlukan perkenalan dan promosi dari kementerian. Sebenarnya kerja mereka sebagai contoh Profesor Ungku Aziz, Profesor Syed Naguib al-Atas, kerja-kerja yang mereka lakukan, pengajaran, lebih-lebih lagi buku-buku yang mereka hasilkan adalah jurucakap bagi diri mereka. Ianya mencerminkan tahap keilmuan dan komitmen tarhadap kerja-kerja mereka.

Antara kaedah yang patut dilakukan dan pernah dilakukan, hendaklah diwajibkan sebelum seorang diberi title profesor, apa lagi profesor emiratus, hendaklah dimestikan ada buku yang diterbitkan dan dimestikan menyampaikan syarahan perdana profesorship yang disiarkan secara terbuka dan disaksikan oleh orang ramai dan dapat dinilaikan tahap kedalaman keilmuan yang ada pada dirinya dan melayakkannya mendapat gelaran profesor atau sebaliknya.

Universiti dilihat sebagai institusi yang unggul dengan keilmuan. Tenaga pengajar adalah tonggak keilmuan. Jika tenaga pengajar tidak berkemampuan menyampai keilmuanya dengan baik dan tidak meyakinkan, maka adalah suatu tragidi bagi universiti yang menghakiskan kepercayaan masyarakat terhadap universiti. Universiti seharusnya mempunyai tokoh-tokoh yang unggul ilmu yang memandu negara dan masyarakat.

Sekian. Dr Shafie Abu Bakar

______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by A330Pilot. Powered by Blogger.