Header II

Header ADS

'Tidak berpolitik' bawa keburukan kepada negara


Keghairahan Plato membicarakan secara terbuka ungkapan 'politik' melalui bukunya Republic (yang ditulisnya kira-kira dalam tahun 375 SM dahulu) ternyata tidak berkesudahan.

Akhirnya beliau memuktamadkan pandangan bahawa bumi harus diperintah oleh mereka yang terdiri daripada ahli falsafah.

Apakah alasannya? Ahli falsafah memiliki pertimbangan yang seimbang tanpa digugat oleh desakan kepentingan diri.

Ibn Khaldun pula (yang menukil teks agungnya Muqaddimah) menekankan betapa manusia secara semulajadinya bersifat politik atas pertimbangan sifat kesalingan antara sesama sendiri dalam kalangan manusia, demi untuk melalui kehidupan.

Pandangan lain seperti diutarakan Al-Farabi, Ibn Rushd, Ibn Bajja dan Ibn Tufayl juga kebanyakannya mengimbas landasan kepercayaan yang tidak banyak bezanya berkait soal politik.

Apa yang muktamad? Bahawa politik tidak mengecualikan sesiapa dan ia mengenai apa-apa sahaja soal kehidupan setiap manusia. Walaupun hakikatnya manusia itu mungkin sekecil bayi dalam kandungan seorang ibu!

Alasannya? Seorang ibu mengandung akan mendapatkan nasihat dan rawatan sebelum bersalin di sebuah hospital sama ada kerajaan ataupun swasta, yang semua kemudahan hospital itu berkaitan dengan dasar awam kerajaan.

Dengan kata lain, itu contoh suatu hasil daripada kegiatan dan proses politik atau siyasah. Ia urusan kesejahteraan awam.

Terbaru semalam, angka kes positif jangkitan COVID-19 ialah 691 seperti dilaporkan pihak berkuasa negara.

Rakyat sentiasa menanti-nanti perkembangan terbaru mengenai wabak yang sudah mula mengawal minda awam sejak kira-kira sembilan bulan yang lalu. Itu proses politik.

Pentadbiran kerajaan yang membabitkan urusan pemantauan, penganalisaan, pengawalan dan seterusnya pencarian jalan penyelesaian keseluruhan wabak itu sehingga terpaksa mengajar serta mendidik rakyat cara-cara untuk membersihkan diri supaya dapat mengurangkan risiko jangkitan, semuanya membabitkan politik.

Apabila jumlah kes dan aliran peningkatannya dijangka berterusan dan semakin meningkat, kerajaan seterusnya mengambil langkah berani dengan mengisytiharkan lockdown atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika banyak negara lain tidak mengangkat langkah itu sebagai pilihan.

Memilih atau menolak tindakan lockdown atau PKP adalah keputusan dan tindakan politik. Pada peringkat formal, ia membabitkan kuasa eksekutif yakni Kabinet.

Pada tahap tidak formal pula, ia membabitkan langkah orang awam dalam mengehadkan pergerakan mereka supaya risiko jangkitan dapat diminimumkan. Itu soal politik, suka ataupun tidak.

Pilihan raya misalnya, ialah suatu kegiatan dan proses politik. Ia soal pembahagian kuasa melalui perwakilan yang dipilih daripada kegiatan mengundi. Semua yang layak berhak membabitkan diri dalam urusan pilihan raya itu.

Di Singapura misalnya, undi adalah kegiatan politik yang wajib. Bagaimanapun di Malaysia ia tidak diwajibkan atas pertimbangan bahawa peratusan mengundi di negara ini tidak dianggap kritikal untuk memungkinkan ia dijadikan kegiatan politik mandatori dalam kalangan awam.

Apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan baru-baru ini, ia juga suatu keputusan politik. Ia dikatakan punca merebaknya jangkitan COVID-19 sejak akhir-akhir ini.

Ahli politik, malah menteri memohon maaf kepada rakyat untuk meredakan getus marah kepada kerajaan. Pada masa sama, media sosial memaparkan pelbagai reaksi netizen. Reaksi itu, biar bagaimana negatif sekalipun diluahkan adalah luahan rasa politik.

Kebanyakan reaksi itu menyalahkan PRN dan memburukkan politik apabila hampir semua kenyataan yang dipaparkan di media sosial membentak meminta dihentikan politik dan sebaliknya ditumpukan kepada usaha pengawalan jangkitan COVID-19.

Mereka perlu menelan kepahitan kenyataan bahawa untuk mengawal COVID-19, kita perlukan sebuah kerajaan yang stabil.

Kerajaan yang stabil dilahirkan daripada barisan kepemimpinan yang cekap, berintegriti, beradab, berwawasan dan mengutamakan kepentingan serta kesejahteraan awam.

Sebuah kerajaan seperti itu sesukar mana sekalipun untuk dilahirkan - dibangunkan daripada proses politik terutama pilihan raya.

Soal berkaitan bajet, pembahagian kuasa dan peruntukan, persefahaman atas kepentingan awam secara keseluruhannya semuanya berkait dengan soal kestabilan kerajaan. Soal kestabilan kerajaan juga adalah soal politik.

Kesimpulannya, politik bukan sesuatu yang asing dan menyendiri dalam kehidupan setiap manusia. Ia berkaitan soal kehidupan manusia secara keseluruhan.

Ia bukan hanya mengenai orang politik atau partisan. Ia juga tidak terbatas kepada operasi parti politik, hanya semata-mata kerana namanya parti politik atau organisasi politik.

Politik juga bukan hanya ungkapan yang berkaitan dengan soal pentadbiran kerajaan sahaja, meskipun selalunya sektor itu dinamakan politik organisasi atau politik birokrasi dan dalam Islam dipanggil siyasah.

Dalam keadaan atau situasi tertentu, politik timbul apabila tercetusnya konflik. Politik dikatakan berlaku apabila mereka yang beraksi dalam gelanggang rasmi politik seperti parti politik atau Kabinet akan berusaha sehabis keras untuk memenangi dan dapat menguasai sumber yang sangat terbatas sama ada dalam negara, kerajaan, organisasi, komuniti dan sebagainya melalui usaha rundingan, pembentukan sekutu atau kesepakatan, penggabungan dan apa sahaja, demi untuk menyelesaikan konflik atas pelbagai kepentingan.

Kita sentiasa berhadapan dengan konflik. Kita mengharapkan sebuah kerajaan yang stabil untuk melindungi kesejahteraan rakyat secara holistik.

Semua itu memerlukan pertimbangan politik. 'Tidak berpolitik' tentunya dengan sendirinya memburukkan lagi keadaan kita.

Datuk Dr Nasrudin Mohammed
Profesor Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)


______
DETIKDAILY
http://www.detikdaily.net/
https://www.facebook.com/detikdaily
https://t.me/detikdaily

No comments

Theme images by A330Pilot. Powered by Blogger.